Tuesday, August 31, 2010

Pelancongan

Pelancongan merujuk kepada aktiviti melawat, melancong atau mengembara ke sesuatu tempat lain yang melebihi lima puluh batu dari tempat kediaman tidak lebih dari satu tahun untuk tujuan rekreasi atau mengisi masa lapang.

Perbezaan antara Ekopelancongan dan
Agropelancongan





Ekopelancongan
atau pelancongan ekologi ( Ecotourism )ialah aktiviti yang melibatkan lawatan ke tempat-tempat yang mempunyai keindahan alam semula jadi.


Agropelancongan atau Pelancongan tani ( Agrotourism ) ialah gaya atau aktiviti pelancongan yang berasaskan kegiatan pertanian, perikanan dan penternakan.

Maklumat berkaitan pelancongan boleh didapati di

Monday, August 23, 2010

Perkembangan Sistem Perhubungan

Buat rujukan Guest...

Bab 16 ( Geografi Tingkatan 2 ) adalah berkaitan dengan tajuk - Perkembangan Sistem Perhubungan.

Adik boleh membuat rujukan di sini....

Sekian terima kasih. Cikgu aibiwai...


Pergerakan Jisim

Buat Rujukan .... shbt_jeng

Geografi 1 6R : Geomorfologi : Gerakan Jisim


Pergerakan jisim bermakna sebarang proses pergerakan bahan-bahan di cerun sesuatu bukit atau gunung. Bahan-bahan yang terlibat dalam pergerakan ini merangkumi bahan terluluh bergerak dari atas cerun ke bahagian bawah sesuatu lereng bukit atau gunung disebabkan oleh tarikan graviti, aliran air hujan, dan air cairan salji. Pergerakan jisim ini dapat dikategorikan dalam dua kumpulan utama iaitu Pergerakan Jisim Perlahan / lambat dan Pergerakan Jisim Cepat.
Pergerakan jisim yang perlahan melibatkan pergerakan tanah dan ketulan batuan seacara perlahan-lahan dari bahagian atas cerun ke bahagian bawah cerun. Proses pergerakan ini dikenali sebagai kesotan dan terdiri daripada lima jenis.

Pergerakan Jisim Perlahan / Lambat

  1. Kesotan tanah-tanih
  2. Kesotan talus
  3. Kesotan batuan
  4. Kesotan batu glasier
  5. Gelangsaran tanah

1. Kesotan Tanah-Tanih
Iaitu jenis aliran lambat / perlahan yang boleh berlaku di mana-mana kawasan dunia tetapi banyak berlaku di kawasan beriklim Tropika Lembap dan Sederhana Sejuk.Pergerakan ini melibatkan ppergerakan regolit di atas cerun yang sangat landai iaitu sudut di antara 2 darjah hingga 4 darjah.
Pergerakan seumpama ini, memang tidak dapat dikesan oelh penglihatan dengan mata kasar kecuali dengan pemerhatian berdasarkan bentuk-bentuk tertentu di lereng-lereng bukit. Pokok=pokok , tiang-tiang elektrik datu telefon, pagar dan dinding batu yang condong menghadap cerun atas bagi bentuk-bentuk tadi menjadi bukti terhadap pergerakan lambat ini. Kandungan air dalanm tanah bertindak sebagai pelincir akibat hujan atau pencairan salji boleh menggalakkan aliran ini. Pada dasarnya, kesotan tanah adalah hasil pengaruh tarikan graviti. Pergerakan jenis ini digalakkan oleh resapan air hujan, perubahan suhu serta aktiviti haiwan. Kesotan tanah dipercayai membentuk cerun bentuk cembung.

2. Kesotan Talus
Iaitu pergerakan jisim jenis lambat yang giat berlaku pada cerun-cerun yang lebih curam seperti tebing tinggi, bukit dan gunung.Di Pergunungan Rocky, Amerika Syarikat, Pergerakan jisim ini sangat giat pada kecerunan 26 darjah hingga 35 darjah.
Pergerakan jisim jenis ini hanya melibatkan pergerakan bahan yang telah diluluhawa dan ia berada dalam keadaan kering dan berbentuk kasar dan kering Faktor tarikan graviti dan kecerunan yang curam penting dalam pergerakan kesotan talus. Manakala hujan yang lebat dan bekalan air cairan salji pula meruapakan penggalak kepada pergerakan jisim ini. Air bertindak sebagai agen pelincir terhadap pergerakan bahan-bahan dari atas cerun.

3. Kesotan Batu Glasier
Pergerakan jisim kesotan batu glasier hanya giat berlaku terhadap kawasan yang bercerun landai. Ia melibatkan pergerakan bahan-bahan kasar tetapi bersama dengan sedikit tanah atau lumpur. Faktor terpenting terhadap pergerakan jisim ini ialah bekalan air akibat daripada pencairan salji. Ia bertindak sebagai agen pelincir di permukaan cerun-cerun yang landai.

4. Gelansaran Tanah
Ia melibatkan pergerakan bahan-bahan tanah dan batu tongkol di cerun-cerun landai 2 darjah hingga 3 darjah di kawasan iklim sejuk. Bahan-bahan pergerakan ini terutama batu tongkol atau serpihan batu dan tanih adalah hasil proses-proses luluhawa. Ketiadaan litupan bumi di permukaan cerun-cerun beserta bekalan air dari pencairan salji menggalakkan pergerakan bahan. Permukaan bumi yang beku dan keras menjadi licin lalu menggalakkan pergerakan bahan di sepanjang cerun-cerun landai.
Gelangsaran tanih berlaku pada musim bunga dan musim panas apabila lapisan atas tanah telah mengalami pencairan dan tertepu dengan air daripada pencairan salji. Lapisan atas ini sentiasa mengalami beku cair dan telah menjadi longgar dan tidak kukuh. Lapisan bawah tanih pula adalah lapisan permafros ( lapisan sentiasa beku ). Lapisan bawah ini sentiasa dalam keadaan beku dan keras. Dengan ini lapisan atas yang longgar dan tidak kukuh menjadi tercerai daripada lapisan bawah.
Keadaan yang tertepu serta lembut mudah mengalir dan menggelungsur melalui cerun pada musim bunga dan musim panas. Pergerakan ini berlaku agak perlahan dan kadar bertambah pada tengah hari dan lewat petang musim bunga atau musim panas kerana keadaan suhu lebih tinggi dan pencairan mudah berlaku.

Pergerakan Jisim Cepat

Aliran jenis ini melibatkan pergerakan tanah, ketulan batuan dan lumpur dari atas cerun ke bahagian bawah cerun dengan kadar yang cepat. Biasanya pergerakan ini berlaku di bahagian cerun yang lebih curam serta bekalan air yang banyak. Aliran kategori ini dibahagikan kepada beberapa jenis seperti berikut;

  1. Aliran tanah
  2. Aliran lumpur
  3. Aliran puin salji runtuh
  4. Runtuhan

1. Aliran Tanah
Pergerakan jenis ini melibatkan pemindahan bahan seperti tanah liat dan lumpur yang sangat basah di cerun-cerun bukit. Pergerakan ini biasanya berlaku di cerun-cerun yang agak landai iaitu gradian 5 darjah hingga 30 darjah. Aliran ini dianggap lebih perlahan berbanding dengan pergerakan jenis aliran lumpur. Di Gurun panas, hujan yang berkala lebat akan menyebabkan pergerakan jenis ini. Pergerakan ini tidak berlaku di alur-alur atau lurah-lurah tetapi bergerak secara menyeluruh di permukaan cerun.
Di Tropika lembap panas, hujan yang lebat dalam jangka masa yang lama akan menyebabkan lapisan atas tanah bertambah berat kerana tepu dengan air. Tekanan tinggi terhadap lapisan bawah menyebabkan lapisan bawah geluncur dan mengalir menjadi aliran tanah.

2. Aliran Lumpur
Pergerakan ini sangat giat di kawasan-kawasan gurun panas dan separa gurun terutama di bahagaian cerun-cerun yang curam. Berbanding dengan aliran tanah , aliran lumpur lebih pantas pergerakannya. Hujan berkala dan lebat menyebabkan lapisan tanah yang longgar di permukaan yang tepu dengan air menghasilkan lumpur. Bahan lumpur ini akan bergerak dengan cepat melalui alur-alur atau lurah-lurah di lereng-lereng bukit atau gunung.
Akhirnya muatan ini akan dimendapkan sebagai kipas lanar di kaki-kaki bukit. Aliran jenis ini lebih aktif di permukaan cerun yang terdedah dan kurang litupan bumi. Aliran lumpur dipengaruhi oleh beberapa keadaan fizikal yang menggalakkan fenomena tersebut.
- Kewujudan permukaan bumi dengan bahan-bahan yang longgar serta butiran bentuk kecil yang mudah mengalir apabila terkena hujan atau air dan pencairan salji.
- Permukaan bumi yang bercerun curam sangat sesuai untuk pergerakan jisim jenis aliran lumpur.
- Bekalan air yang banyak akan berfungsi sebagai pelincir serta media pengangkutan terhadap butir kecil seperti tanah liat dan lumpur.

3. Geluncuran ( Gelongsoran )
Geluncuran merupakan satu lagi pergerakan jisim cepat yang berlaku dengan tiba-tiba. Pergerakan ini melibatkan pergerakan tanah-tanih dan bongkah batuan dalam skala besar di cerun-cerun yang umum. Terdapat tiga jenis geluncuran iaitu robohan, geluncuran puin dan geluncuran batuan.
i . Geluncuran jenis robohan melibatkan pergerakan pergerakan bongkah-bongkah batuan di cerun-cerun bukit atau gunung yang curam. Pergerakan ini berlaku apabila beban yang berat di lapisan atas menyebabkan lapisan batuan lembut di bawah runtuh dan ini membolehkan batuan lapisan atas turut bergerak menuruni cerun.
ii. Geluncuran puin pula merupakan pergerakan serpihan batuan secara golekan di sesuatu cerun yang curam. Biasanya pergerakan jenis ini melibatkan pergerakan serpihan batuan atau puin-puin yang kurang padat serta yang kering. Tarikan graviti memainkan peranan penting terhadap pergerakan ini.
iii. Geluncuran batuan ialah melibatkan pergerakan bongkah-bongkah batu yang besar di cerun yang agak curam. Pergerakan jenis ini berlaku terhadap batuan berlapis-lapis yang tersusun secara serong. Struktur batuannya mempunyai banyak retakan dan rekahan.

4. Runtuhan
Pergerakan jenis ini pula melibatkan pergerakan puin-puin dan bongkahan batu secara tiba-tiba di cerun yang sangat curam, seperti di tebing tinggi. Terdapat dua jenis runtuhan iaitu runtuhan batu dan runtuhan puin.
i. Pergerakan jisim jenis runtuhan batu biasanya disebabkan struktur batuan yang telah menjadi lemah akibat proses-proses luluhawa dan pelbagai aktiviti manusia. Tarikan graviti penting terhadap pergerakan jenis ini. Runtuhan ini biasanya mengandungi pelbagai saiz dan bentuk batu. Apabila ia terjatuh akan terlonggok membentuk kun talus di kaki-kaki tebing tinggi atau kaki gunung.
ii. Pergerakan runtuhan puin pula melibatkan pergerakan serpihan batuan di cerun-cerun curam seperti di tebing tinggi. Pergerakan ini mungkin merupakan kesinambungan dari proses geluncuran puin di cerun-cerun yang lebih landai.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENGGALAKKAN PERGERAKAN JISIM DI KAWASAN TROPIKA LEMBAP



1. Lapisan regolit yang tebal - - kesan drp kadar luluhawa dalaman yang berkesan
Proses-proses luluhawa terutama luluhawa kimia yang sangat giat di kawasan Tropika Lembap menghasilkan lapisan regolit yang tebal. Ini kerana berlaku luluhawa dalaman. Lapisan regolit yang tebal memudahkan proses - proses pergerakan cerun kerana ia merupakan lapisan yang lembut, lebih mudah menyerap air dan mudah bergerak.

2. Iklim - - terdedah kepada hujan yang lebat
Kawasan Tropika lembap menerima jumlah hujan yang banyak iaitu lebih daripada 2000 mm setahun. Hujan yang lebat sepanjang tahun dapat menggalakkan proses-proses pergerakan jisim. Air hujan apabila bercampur dengan lapisan tanah akan menjadi berat dan mudah bergerak disepanjang cerun akibat tarikan graviti. Air hujan yang menyusup masuk ke dalam laipsan tanah bertindak sebagai agen pelincir lalu menggalakkan proses gelunsuran tanah di permukaan cerun-cerun bukit. Di kawasan sederhana sejuk, pencairan salji akan menjadikan lapisan tanah tertepu dengan air dan menggalakkan lapisan atas tanah bergerak menuruni cerun. Kadar pergerakan lebih cepat pada musim bunga dan panas di mana pencairan salji yang giat berlaku.

3. Aktiviti manusia - - aktiviti pembangunan di kawasan tanah tinggi / cerun bukit
Kegiatan manusia seperti tarahan bukit untuk pembinaan jalan raya, pemanasan cerucuk besi dan pemecahan batu di lombong kuari dapat menggalakkan proses-proses pergerakan jisim seperti robohan dan runtuhan batu. Gangguan seumpama ini yang melonggarkan struktur tanah dan batuan di lereng-lereng bukit atau gunung mudah mengalami pergerakan jisim.

4. Gangguan-gangguan tektonik - - bila berlaku gempa bumi, gelinciran, lipatan dan letusan gunung berapi
Kawasan-kawasan yang sering mengalami gerakan tektonik seperti gempa bumi, gelinciran, lipatan dan gunung berapi menyebabkan struktur batuan dan tanah di kawasan bercerun curam mudah mengalami pergerakan jisim.

5. Litupan bumi - - kemusnahan kawasan hutan melalui pembalakan dan pertanian pindah
Di kawasan tanah tinggi yang mengalami pemusnahan, liputan bumi melalui pertanian pindah dan pembalakan secara intensif proses-proses pergerakan bumi giat berlaku. Lapisan tanah yang kehilangan cengkaman akar pokok dan timbuhan mudah mengalami pergerakan jisim.

6. Bentuk muka bumi - – tanah tinggi , bercerun curam
Kawasan-kawasan di tanah tinggi yang bercerun curam mudah mengalami pergerakan jisim. Faktor kecerunan mendorong tindakan tarikan graviti terhadap regolit di bahagian atas tanah tinggi dan dengan ini kadar pergerakan juga lebih tinggi.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PROSES-PROSES PERGERAKAN JISIM

  1. Menanam tumbuhan tutup bumi
  2. Membina teres / kaedah kontor
  3. Penyimenan
  4. Pembinaan tembok / dinding
  5. Mengadakan sistem perparitan
  6. meletakkan lapisan plastik pada musim hujan

1. Menanam tumbuhan
Permukaan bumi terutama di lereng-lereng bukit dan gunung yang sedang atau telah berlaku kegiatan manusia seharusnya diliputi dengan penanaman pokok atau rumput. Litupan bumi ini dapat mencengkam tanah melalui akar-akarnya. Lagipun tanah kurang terdedah kepada tindakan air hujan.

2. Teres
Kawasan-kawasan pertanian di permukaan bumi yang bercerun curam seharusnya diteres mengikut kaedah garis kontor. Tindakan ini bukan sahaja mengurangkan kecerunan lereng-lereng bukit bahkan mengurangkan daya graviti terhadap lapisan tanah di sesuatu bukit atau tanah tinggi. Teres juga mengurangkan air larian permukaan yang juga boleh mempengaruhi pergerakan jisim.

3. Penyimenan
Satu lagi kaedah yang penting dan sering digunakan untuk mengurangkan proses-proses pergerakan jisim ialah dengan penyimenan ke atas permukaan lereng-lereng cerun yang curam. Kaedah ini sangat berkesan di kawasan permukaan yang berbatu. Proses penyimenan ini dapat mengurangkan kemasukan air ke dalam secara proses infiltrasi. Kadar penyusupan air yang terhalang ini dapat mengurangkan lapisan atas lereng-lereng bukit menjadi berat dan bergerak ke bahagian bawah.

4. Tembok
Pergerakan jisim juga boleh diatasi dengan cara membina suatu tembok konkrik atau batu merentasi cerun sesuatu bukit yang dijangkakan boleh berlaku pergerakan jisim. Kaedah ini sangat sesuai mengatasi pergerakan jisim jenis kesotan tanah dan tanah runtuh di lereng-lereng bukit yang tidak begitu curam.

5. Sistem perparitan
Kaedah ini sering kali digunakan di lereng-lereng bukit yang tinggi terutama di beberapa tempat di lebuh raya Utara Selatan. Sistem perparitan ini dibina di setiap teres di sesuatu lereng bukit yang curam mengikut garis kontornya. Parit-parit atau beberapa saliran dibina ke bawah bukit melalui tangga-tangga batu. Air hujan yang turun di permukaan rata di setiap teres akan mengalir masuk ke dalam sistem perparitan dan kemudian mengalir melalui tangga ke bahagian bawah sesuatu cerun. Kaedah ini dapat mengatasi masalah air yang bertakung dan menyusup masuk ke dalam permukaan bumi lalu memberatkan lapisan tanah. Permukaan tanah yang berat boleh bergerak ke bawah.

6. Lapisan plastik
Fenomena pergerakan jisim di lereng-lereng bukit yang curam boleh dikurangkan dengan meletakkan satu lapisan plastik di permukaan atas cerun. Lapisan plastik dapat menghalang penyusupan air ke dalam lapisan bawah. Fenomena pemasangan plastik sering kali dapat kita perhatikan di beberapa tempat di Lebuh Raya Utara Selatan.


Nota berkaitan :
1. Jelaskan bagaimana kejadian pergerakan jisim dapat dikawal. >>> http://smrpanjang.blogspot.com/2008/08/jelaskan-bagaimana-kejadian-pergerakan.html




Sunday, August 15, 2010

Kereta api elektrik

KTM memperkenalkan Kereta Api Elektrik (ETS) yang boleh mencapai kelajuan 160km/jam. ETS ini akan menghubungkan bandar Seremban-Kuala Lumpur-Ipoh.

Maklumat lanjut lihat berita Kosmo 10 Ogos 2010.

Balik raya naik ETS


PERKHIDMATAN ETS Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban akan bermula Khamis ini.


IPOH – Perjalanan balik kampung pada musim Aidilfitri pada kali ini akan menjadi lebih mudah, lancar dan selesa bagi kebanyakan mereka yang tinggal di kawasan antara bandar raya Ipoh dan Seremban.

Kereta api elektrik (ETS) milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memulakan perkhidmatan perjalanan Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban bermula Khamis ini.

Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan berkata, pihaknya memang menjangkakan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan kereta api menjelang perayaan itu dan dengan pengenalan ETS, ia dijangka dapat menampung permintaan berkenaan.

“Memang kita menjangkakan permintaan tinggi pada setiap musim perayaan.

“Untuk itu, kita juga akan menyediakan tren tambahan termasuk ETS,” katanya kepada pemberita pada program menyebarluaskan perkhidmatan ETS di sini semalam.

Aminuddin berkata, ETS merupakan tren paling canggih dan pantas pernah dimiliki KTMB yang mampu bergerak pada kelajuan 160km/jam.

KHAMIS, 2009 NOVEMBER 26

KL- IPOH 1 JAM 55 MINIT

SELAMA ini, kereta api sering dilabel sebagai pengangkutan yang amat perlahan di negara ini berbanding dengan pengangkutan yang lain. Persepsi itu akan menjadi tidak begitu relevan apabila kereta api elektrik Electric-Train-Set (ETS) dijangka beroperasi April tahun depan. Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menerima kereta api ETS pertama awal Disember ini.

Dengan kelajuan yang lebih tinggi dan reka bentuk lebih aerodinamik, ETS mampu menawarkan perjalanan yang lebih singkat. Perjalanan dari Kuala Lumpur (KL) ke Ipoh, Perak misalnya mengambil masa hanya satu jam 55 minit, satu jangka masa yang mungkin membuatkan anda berfikir dua kali untuk memandu kereta sendiri ke destinasi tersebut.

Jika sebelum ini, perjalanan dengan kereta api lokomotif diesel dari KL ke Ipoh mengambil masa hampir tiga jam atau pemanduan darat yang lain mengambil masa dua jam 30 minit, apa yang ditawarkan ETS kelak dilihat mampu mengubah senario perkhidmatan kereta api di Malaysia. Tidak mustahil akan wujud kelompok masyarakat yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi menetap di Ipoh atau sebaliknya.

Untuk permulaan, perkhidmatan kereta api ETS melibatkan perjalanan Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban. Ia bakal dipanjangkan ke laluan Ipoh-Padang Besar di Perlis serta Seremban-Gemas di Negeri Sembilan apabila landasan berkembar elektrik di laluan itu siap pada tahun 2013. ETS mampu menawarkan perkhidmatan pada kelajuan 140 kilometer sejam (140kmj).

REKAAN dalaman ETS yang lebih selesa dan kondusif berdasarkan ilustrasi.

Tren elektrik itu menggunakan motor elektrik dan mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan tren lokomotif diesel. Ia lebih lancar, mesra alam, lebih senyap dan lebih laju.

"Kami melihat terdapat permintaan perkhidmatan kereta api yang amat menggalakkan daripada orang ramai. Misalnya, untuk laluan Ipoh-KL pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, tiket selalunya habis dijual. Kami merasakan pengenalan perkhidmatan ETS kena pada masanya kerana pasaran ini boleh dikatakan sudah ada," kata Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan kepada Infiniti ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Ia mampu menjimatkan perjalanan selama satu jam berbanding dengan perkhidmatan kereta api biasa sebelum ini," tambahnya sambil menjelaskan sistem ETS adalah dari Jepun tetapi pembinaan kereta api dilakukan di Korea Selatan. Perkhidmatan kereta api ETS akan dimulakan setelah lima buah kereta api ETS yang datang secara berperingkat diterima KTMB.

Aminuddin bagaimanapun menjelaskan ETS bukanlah kereta api elektrik pertama KTMB. KTMB telah mula menggunakan kereta api elektrik iaitu Electric Multiple Unit (EMU) sejak tahun 1995 dan ia kebanyakannya digunakan dalam perkhidmatan KTM Komuter.

"Tetapi ETS lebih laju, lebih hebat dan lebih aerodinamik daripada EMU. ETS juga digunakan untuk perjalanan yang lebih jauh. Jika EMU hanya tiga gerabak, ETS lebih panjang dengan menawarkan enam gerabak. Kami berharap dengan ETS, kami dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai," katanya.

AMINUDDIN menjangkakan ETS bakal menaikkan imej KTMB dan pencetus perubahan awal kepada senario pengangkutan kereta api perjalanan jauh di Malaysia.

Tambah Aminuddin, ETS mempunyai reka bentuk dalaman yang menarik, dilengkapi pendingin hawa, televisyen LCD, ciri mesra pengguna kurang upaya dan ciri keselamatan Automatic Train Protection System.

"Untuk memastikan pemandu sentiasa peka dalam pemanduan, pemandu ETS dikehendaki menekan satu butang setiap 30 saat bagi menunjukkan mereka sedang memberikan sepenuh konsentrasi. Sekiranya mereka tidak menekan butang itu, tren akan bergerak perlahan dan berhenti," kata Aminuddin sambil memberitahu ETS berkapasiti 350 penumpang.

Cuma, disebabkan ETS berkelajuan tinggi dan menggunakan landasan elektrik maka orang ramai yang tinggal berdekatan landasan kereta api elektrik perlu mempertingkat tahap waspada. Dengan penggunaan tenaga elektrik sebesar 25 kilowatt, ia boleh memberikan renjatan elektrik yang amat teruk sekiranya kanak-kanak bermain layang-layang dan ia tersangkut di pencawang elektrik landasan.

Kos pembinaan landasan berkembar elektrik juga tinggi. Disebabkan itu, peluasan landasan berkembar elektrik ke seluruh Semenanjung Malaysia juga perlu dinilai berdasarkan keperluan. Bernama pernah melaporkan, KTMB melabur sebanyak RM15.7 bilion bagi keseluruhan projek ETS yang melibatkan landasan keretapi sepanjang lebih 700 kilometer.

"Ini semua bersifat timbal balik. Kami ingin memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan efisien kepada pengguna dan kami mahu membuat kehidupan orang ramai lebih mudah. Justeru, pelaburannya juga perlu setanding. Bayaran tambangnya juga perlu dinaikkan sesuai dengan kemudahan yang diberikan. Bagaimanapun, kami belum menetapkan tambang yang bakal dikenakan untuk ETS," katanya sambil turut menjelaskan perkhidmatan kereta api di negara ini dilihat lebih terkehadapan berbanding dengan kebanyakan negara jiran.

Katanya, KTMB menjangkakan ETS bakal menarik perhatian lebih ramai golongan profesional dan ahli perniagaan untuk menggunakan perkhidmatan kereta api.

"Berasaskan kemudahan yang lebih selesa dan perkhidmatan yang lebih laju, ia boleh menarik lebih ramai komuniti profesional dan ahli perniagaan yang sering berulang-alik ke destinasi-destinasi terlibat," katanya.

Seiring dengan imej ETS yang moden, Aminuddin berharap ETS dapat meningkatkan imej KTMB. "Saya berharap ETS dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai. Dengan imej baru ini, KTMB dapat mencetuskan budaya kerja yang lebih proaktif, dinamik dan mesra pelanggan," ujarnya.

(Sumber : Kosmo 261109)

Monday, August 9, 2010

Glasier

Glasier utama di Greenland terpisah


GAMBAR menunjukkan kawasan Glasier Petermann yang retak di Greenland pada 7 Julai lalu.


WASHINGTON - Satu 'pulau ais' di barat laut Greenland, Denmark sebesar empat kali ganda daripada kawasan Manhattan di New York terbentuk selepas ia berpisah dari Glasier Petermann pada Khamis lalu.

Seorang penyelidik, Andreas Muenchow dari Universiti Delaware berkata, kali terakhir kawasan Artik mengalami masalah sama adalah pada 1962.

Menurutnya, jumlah kandungan air pada 'pulau ais' itu mampu memberikan bekalan air kepada semua penduduk di AS selama 120 hari.

Dia berkata, sukar untuk menentukan sama ada ais itu terpisah disebabkan oleh faktor pemanasan global kerana rekod paras air laut di sekitar glasier hanya disimpan sejak 2003. - Agensi

Sumbar : Kosmo Online 09 Ogos 2010

Maklumat lanjut tentang Glasier >> klik di sini