Sunday, August 15, 2010

Kereta api elektrik

KTM memperkenalkan Kereta Api Elektrik (ETS) yang boleh mencapai kelajuan 160km/jam. ETS ini akan menghubungkan bandar Seremban-Kuala Lumpur-Ipoh.

Maklumat lanjut lihat berita Kosmo 10 Ogos 2010.

Balik raya naik ETS


PERKHIDMATAN ETS Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban akan bermula Khamis ini.


IPOH – Perjalanan balik kampung pada musim Aidilfitri pada kali ini akan menjadi lebih mudah, lancar dan selesa bagi kebanyakan mereka yang tinggal di kawasan antara bandar raya Ipoh dan Seremban.

Kereta api elektrik (ETS) milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memulakan perkhidmatan perjalanan Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban bermula Khamis ini.

Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan berkata, pihaknya memang menjangkakan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan kereta api menjelang perayaan itu dan dengan pengenalan ETS, ia dijangka dapat menampung permintaan berkenaan.

“Memang kita menjangkakan permintaan tinggi pada setiap musim perayaan.

“Untuk itu, kita juga akan menyediakan tren tambahan termasuk ETS,” katanya kepada pemberita pada program menyebarluaskan perkhidmatan ETS di sini semalam.

Aminuddin berkata, ETS merupakan tren paling canggih dan pantas pernah dimiliki KTMB yang mampu bergerak pada kelajuan 160km/jam.

KHAMIS, 2009 NOVEMBER 26

KL- IPOH 1 JAM 55 MINIT

SELAMA ini, kereta api sering dilabel sebagai pengangkutan yang amat perlahan di negara ini berbanding dengan pengangkutan yang lain. Persepsi itu akan menjadi tidak begitu relevan apabila kereta api elektrik Electric-Train-Set (ETS) dijangka beroperasi April tahun depan. Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menerima kereta api ETS pertama awal Disember ini.

Dengan kelajuan yang lebih tinggi dan reka bentuk lebih aerodinamik, ETS mampu menawarkan perjalanan yang lebih singkat. Perjalanan dari Kuala Lumpur (KL) ke Ipoh, Perak misalnya mengambil masa hanya satu jam 55 minit, satu jangka masa yang mungkin membuatkan anda berfikir dua kali untuk memandu kereta sendiri ke destinasi tersebut.

Jika sebelum ini, perjalanan dengan kereta api lokomotif diesel dari KL ke Ipoh mengambil masa hampir tiga jam atau pemanduan darat yang lain mengambil masa dua jam 30 minit, apa yang ditawarkan ETS kelak dilihat mampu mengubah senario perkhidmatan kereta api di Malaysia. Tidak mustahil akan wujud kelompok masyarakat yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi menetap di Ipoh atau sebaliknya.

Untuk permulaan, perkhidmatan kereta api ETS melibatkan perjalanan Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban. Ia bakal dipanjangkan ke laluan Ipoh-Padang Besar di Perlis serta Seremban-Gemas di Negeri Sembilan apabila landasan berkembar elektrik di laluan itu siap pada tahun 2013. ETS mampu menawarkan perkhidmatan pada kelajuan 140 kilometer sejam (140kmj).

REKAAN dalaman ETS yang lebih selesa dan kondusif berdasarkan ilustrasi.

Tren elektrik itu menggunakan motor elektrik dan mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan tren lokomotif diesel. Ia lebih lancar, mesra alam, lebih senyap dan lebih laju.

"Kami melihat terdapat permintaan perkhidmatan kereta api yang amat menggalakkan daripada orang ramai. Misalnya, untuk laluan Ipoh-KL pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, tiket selalunya habis dijual. Kami merasakan pengenalan perkhidmatan ETS kena pada masanya kerana pasaran ini boleh dikatakan sudah ada," kata Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan kepada Infiniti ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Ia mampu menjimatkan perjalanan selama satu jam berbanding dengan perkhidmatan kereta api biasa sebelum ini," tambahnya sambil menjelaskan sistem ETS adalah dari Jepun tetapi pembinaan kereta api dilakukan di Korea Selatan. Perkhidmatan kereta api ETS akan dimulakan setelah lima buah kereta api ETS yang datang secara berperingkat diterima KTMB.

Aminuddin bagaimanapun menjelaskan ETS bukanlah kereta api elektrik pertama KTMB. KTMB telah mula menggunakan kereta api elektrik iaitu Electric Multiple Unit (EMU) sejak tahun 1995 dan ia kebanyakannya digunakan dalam perkhidmatan KTM Komuter.

"Tetapi ETS lebih laju, lebih hebat dan lebih aerodinamik daripada EMU. ETS juga digunakan untuk perjalanan yang lebih jauh. Jika EMU hanya tiga gerabak, ETS lebih panjang dengan menawarkan enam gerabak. Kami berharap dengan ETS, kami dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai," katanya.

AMINUDDIN menjangkakan ETS bakal menaikkan imej KTMB dan pencetus perubahan awal kepada senario pengangkutan kereta api perjalanan jauh di Malaysia.

Tambah Aminuddin, ETS mempunyai reka bentuk dalaman yang menarik, dilengkapi pendingin hawa, televisyen LCD, ciri mesra pengguna kurang upaya dan ciri keselamatan Automatic Train Protection System.

"Untuk memastikan pemandu sentiasa peka dalam pemanduan, pemandu ETS dikehendaki menekan satu butang setiap 30 saat bagi menunjukkan mereka sedang memberikan sepenuh konsentrasi. Sekiranya mereka tidak menekan butang itu, tren akan bergerak perlahan dan berhenti," kata Aminuddin sambil memberitahu ETS berkapasiti 350 penumpang.

Cuma, disebabkan ETS berkelajuan tinggi dan menggunakan landasan elektrik maka orang ramai yang tinggal berdekatan landasan kereta api elektrik perlu mempertingkat tahap waspada. Dengan penggunaan tenaga elektrik sebesar 25 kilowatt, ia boleh memberikan renjatan elektrik yang amat teruk sekiranya kanak-kanak bermain layang-layang dan ia tersangkut di pencawang elektrik landasan.

Kos pembinaan landasan berkembar elektrik juga tinggi. Disebabkan itu, peluasan landasan berkembar elektrik ke seluruh Semenanjung Malaysia juga perlu dinilai berdasarkan keperluan. Bernama pernah melaporkan, KTMB melabur sebanyak RM15.7 bilion bagi keseluruhan projek ETS yang melibatkan landasan keretapi sepanjang lebih 700 kilometer.

"Ini semua bersifat timbal balik. Kami ingin memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan efisien kepada pengguna dan kami mahu membuat kehidupan orang ramai lebih mudah. Justeru, pelaburannya juga perlu setanding. Bayaran tambangnya juga perlu dinaikkan sesuai dengan kemudahan yang diberikan. Bagaimanapun, kami belum menetapkan tambang yang bakal dikenakan untuk ETS," katanya sambil turut menjelaskan perkhidmatan kereta api di negara ini dilihat lebih terkehadapan berbanding dengan kebanyakan negara jiran.

Katanya, KTMB menjangkakan ETS bakal menarik perhatian lebih ramai golongan profesional dan ahli perniagaan untuk menggunakan perkhidmatan kereta api.

"Berasaskan kemudahan yang lebih selesa dan perkhidmatan yang lebih laju, ia boleh menarik lebih ramai komuniti profesional dan ahli perniagaan yang sering berulang-alik ke destinasi-destinasi terlibat," katanya.

Seiring dengan imej ETS yang moden, Aminuddin berharap ETS dapat meningkatkan imej KTMB. "Saya berharap ETS dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai. Dengan imej baru ini, KTMB dapat mencetuskan budaya kerja yang lebih proaktif, dinamik dan mesra pelanggan," ujarnya.

(Sumber : Kosmo 261109)

1 comment:

misspchocof said...

entry ini telah membantu saya dalam mini tesis saya..saya ucapkan terima kasih sangat2.. ^_^